Wednesday, March 18, 2009

Pelaksanaan Pusat Akses Sekolah

PENGENALAN

Selaras dengan arus perkembangan teknologi maklumat di negara ini, kerajaan berhasrat membestarikan semua sekolah di seluruh negara melalui Program Pembestarian Sekolah.

Pelaksanaan Pusat Akses Sekolah merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menyediakan infrastruktur ICT yang mencukupi bagi menjayakan pembestarian sekolah.

RASIONAL

Pusat Akses Sekolah merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif Kementerian Pelajaran dalam menyediakan Infrastruktur ICT yang mencukupi bagi menjayakan pembestarian sekolah. Pusat Akses Sekolah berfungsi sebagai pemangkin pembudayaan ICT di sekolah.

· Ia merupakan satu ruang pembelajaran yang disediakan bagi membolehkan pelajar menjalankan pembelajaran secara kendiri dan mempelbagai gaya pembelajaran mereka.

· Penggunaan Pusat Akses Sekolah diharap dapat meningkatkan kemahiran ICT pelajar untuk tujuan pembelajaran.

MATLAMAT

· Membudayakan penggunaan ICT di sekolah
· Mengurangkan nisbah komputer dengan pelajar
· Meningkatkan masa penggunaan (contact hours) komputer oleh murid

OBJEKTIF

· Meningkatkan kemahiran pelajar dalam mencapai maklumat
· Membolehkan pelajar melaksanakan pembelajaran kadar kendiri, terarah kendiri
dan akses kendiri dengan lebih berkesan
· Meningkatkan penggunaan dan penguasaan ICT pelajar untuk pembelajaran.

WAKTU OPERASI

Pusat Akses Sekolah beroperasi pada masa seperti berikut:
- semasa waktu persekolahan
- selepas waktu persekolahan

PENGGUNA

Keutamaan penggunaan diberikan kepada murid.

· Warga sekolah seperti pentadbir sekolah, guru, dan staf sokongan juga boleh menggunakan kemudahan Pusat Akses Sekolah

CADANGAN AKTIVITI

· Mencari maklumat daripada Internet untuk pembelajaran

· Mengakses sumber maklumat seperti buku-buku, bahan bercetak atau bahan digital yang berkaitan(e-Learning).

· Menyediakan tugasan dan slaid persembahan berkaitan dengan pembelajaran.

· Berkomunikasi dengan guru dan murid lain melalui e-mel

· Berkolaborasi dengan murid lain.

KESELAMATAN

Pihak sekolah perlu mengambil berat aspek-aspek keselamatan seperti kemudahan infrastruktur, kemudahan fizikal, perkakasan, rangkaian, perisian dan aplikasi.

· Pengguna Pusat Akses Sekolah mesti mematuhi peraturan bagi menjamin keselamatan diri dan peralatan komputer.

* Keselamatan Mengakses Internet

i) Mesti mematuhi Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 1 Tahun 2003 – UPTM 159/526/9 Jld.3 (9) – Garis Panduan Mengenai Tatacara Penggunaan Internet Dan Mel Elektronik Di Agensi-Agensi Kerajaan (boleh dimuat turun daripada http://www.mampu.gov.my/mampu/bm/Circulars/BM/Main.htm )

* Keselamatan Penyimpanan Bahan

i) Pengguna TIDAK DIBENARKAN menyimpan bahan di cakera keras komputer di Pusat Akses Sekolah.

* Sentiasa menyelenggara ruang cakera keras komputer (housekeeping) untuk menjamin pengoperasian komputer sentiasa ditahap optimum dan stabil.
* Pengguna Pusat Akses Sekolah mesti mematuhi peraturan bagi menjamin keselamatan diri dan peralatan komputer. Antara peraturan yang perlu dipatuhi ialah:

i) Dilarang membawa beg, makanan atau minuman ke dalam Pusat Akses Sekolah.

ii) Dilarang membawa masuk sebarang cakera perisian milik persendirian kecuali dengan kebenaran guru bertugas.

iii) Dilarang membawa keluar sebarang perkakasan atau perisian komputer daripada Pusat Akses Sekolah.

iv) Dilarang sama sekali mengusik sebarang pendawaian atau sambungan kabel yang terdapat di belakang komputer.

i) Dilarang memasukkan sebarang perisian luar dan mengubah konfigurasi komputer.

ii) Dilarang menyimpan semua hasil kerja dalam cakera keras komputer.

iii) Pengguna hendaklah merekod penggunaan komputer dalam buku log. Beberapa peraturan lain yang berkaitan terserah kepada budi bicara Jawatankuasa Pusat Akses Sekolah.

PENGURUSAN PENYENGGARAAN

· Merekod dan melaporkan sebarang masalah kerosakan yang dihadapi
terus kepada pembekal peralatan berkenaan.

· Dalam Tempoh Jaminan

a) Pihak sekolah perlu mengambil maklum bahawa jangka masa jaminan, terma dan syarat jaminan terdapat di dalam perjanjian.

b) Merekod dan melaporkan sebarang masalah kerosakan yang dihadapi terus kepada pembekal peralatan ICT yang berkenaan

* Tamat Tempoh Jaminan (tertakluk kepada pindaan atau arahan semasa)

a) Penyelenggaraan akan diuruskan di bawah kontrak berpusat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).Penyelenggaraan kontrak berpusat ini merangkumi tiga (3) aspek, iaitu:

· Tagging

· Penyenggaraan Pencegahan

· Penyenggaraan Pemulihan

b) Sebarang kerosakan hendaklah direkod dan dilaporkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

* Satu salinan laporan masalah samaada dalam tempuh jaminan atau tamat tempoh jaminan hendaklah dihantar kepada:

Pengarah
Bahagian Teknologi Pendidikan
Kementerian Pelajaran Malaysia
Pesiaran Bukit Kiara
50604 Kuala Lumpur
Tel: 03-20987788
Faks: 03-20923763